Suami isteri dihukum mati di tali gantung

KUALA TERENGGANU 3 Julai – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki heroin, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Maarop menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Zainun Mohd. Noor, 42, dan Azaha Abd. Rani, 49, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pasangan itu di atas kedua-dua tuduhan.

Pasangan suami isteri dari Rantau Panjang, Kelantan itu kelihatan tenang ketika hukuman mati terhadap mereka dibacakan.

‘‘Bagi tuduhan pertama iaitu mengedar dadah, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah dan di bawah undang- undang di dalam negara kita pada masa ini hanya ada satu saja hukuman iaitu gantung.”

“Jadi, setelah mahkamah mendapati kamu bersalah maka adalah mandatori bagi mahkamah ini untuk menjatuhkan hukuman ini,” kata hakim.

Dalam kesalahan kedua iaitu memiliki heroin, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.

Mahkamah turut mengarahkan sebuah kereta sewa yang digunakan oleh pasangan itu untuk melakukan kedua-dua kesalahan tersebut dilucut hak dan dilupuskan.

Mengikut fakta kes, suami isteri itu dituduh secara bersama-sama mengedar 12.25 gram heroin di hadapan stesen minyak BP Kampung Jabi, Besut pada pukul 1.30 tengah hari, 7 Disember 2003.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa secara bersama-sama memiliki 9.57 gram heroin pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Suami isteri itu melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Aziz De Rashid Rosdin.

Sepanjang perbicaraan kes itu sebelum ini, Zainun memilih untuk berdiam diri dan tidak mengemukakan mana-mana saksi manakala suaminya pula memberi keterangan secara bersumpah.

Dalam pada itu ketika membuat rayuan untuk kedua-dua tertuduh, Aziz memberitahu ini adalah kesalahan pertama yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu.

Katanya, pasangan itu mempunyai empat anak berumur 24, 16, 13 dan sembilan tahun yang memerlukan perhatian daripada mereka.

Petikan Utusan Malaysia 4/07/08